Selamat sejahtera pelajar 3EX semua:)
Di bawah ini ada soalan kertas 2 untuk kelas 3EX .
ARAHAN:-
Sila cuba soalan-soalan ini demi persiapan kamu untuk peperiksaan nanti.
Hantar jawapan kamu melalui e mail saya iaitu :- noor_hayati_mohamed_yusoff@moe.edu.sg.
Ini harus diikuti dengan hantaran sms ke nombor telefon bimbit saya.
KERTAS 2
Bahagian A (34 markah)
Soalan A1 (10 markah)
Arahan: Dalam petikan karangan di bawah ini terdapat lima patah perkataan yang berhuruf tebal. Bubuh imbuhan yang sesuai pada setiap perkataan. Tulis jawapan kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
Fenomena jerebu dapat ditakrifkan sebagai kejadian yang melibatkan kabut yang bercampur dengan debu yang terapung-apung di udara sehingga menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Ada (1) bagai punca berlakunya fenomena jerebu.
Arus (2) moden yang sedang berkembang pesat ialah faktor perdana fenomena jerebu. (3) Tambah kenderaan serta aktiviti perindustrian yang pesat dijalankan menyebabkan pembebasan asap kotor ke udara. Hal itu akan memberikan impak negatif kepada alam sekitar seperti hujan asid. Kesihatan juga turut (4) jejas mengakibatkan penyakit paru-paru, asma dan sebagainya. Cuaca yang semakin panas ditambah dengan penebangan hutan yang semakin berleluasa turut menyebabkan jerebu.
Semua pihak haruslah menggembleng tenaga (5) pantau fenomena jerebu daripada menjadi semakin serius. Alam sekitar yang bersih adalah untuk kesihatan yang lebih sempurna.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Punca Fenomena Jerebu, Dewan Siswa, Mac 2008)
Soalan A2 (5 markah)
Arahan: Pilih peribahasa yang sesuai daripada senarai yang diberikan di bawah ini bagi melengkapkan jalan cerita petikan karangan. Kemudian, tulis huruf jawapan pilihan kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
A bagai belanda minta tanah
B pipit pekak makan berhujan
C biduk lalu kiambang bertaut
D bagai harimau beranak muda
E berkerat rotan berpatah arang
F bagai itik berebutkan tembolok
G bertelingkah bagai antan di lesung
H sedencing bagai besi, seciap bagai ayam
I bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat
J kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap
Azman dan Azmin merupakan adik-beradik kembar. Namun, mereka sering berbalah meskipun kerana sebab yang terlalu kecil. Perbuatan mereka tidak ubah (6) _______________. Walaupun mereka sering bertengkar, perselisihan faham antara mereka tidak lama. Mereka pasti akan berbaik-baik semula seperti (7) _______________. Antara mereka berdua, Azman tidak boleh bertolak ansur. Sifatnya yang tamak; diberi sedikit tetapi hendak semuanya, tidak ubah (8) _______________.
Ibu bapa mereka kerap menasihati mereka berdua agar bermuafakat dan mengerjakan sesuatu bersama-sama; baik ringan mahupun berat seperti (9) _______________. Ibu bapa mereka juga pernah mengatakan bahawa setiap orang mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing bak kata pepatah (10) _______________. Mereka benar-benar berharap agar kedua-dua anak mereka akan senantiasa berbaik-baik antara satu sama lain.
Soalan A3 (9 markah)
Arahan: Bina sepotong ayat yang sesuai dengan menggunakan setiap perkataan/frasa yang diberikan. Ayat kamu harus menunjukkan makna perkataan/frasa tersebut. Kemudian, tulis ayat kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
11 insaf
12 mengetepikan
13 sokongan moral
Soalan A4 (10 markah)
Arahan: Isi setiap tempat kosong dengan perkataan yang sesuai bagi melengkapkan teks. Kemudian, tulis jawapan kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
Makanan semakin berkurangan. Inilah hakikat yang sudah terbentang di depan mata biarpun laporan mengenainya ditenggelamkan oleh paparan krisis politik dan kemelut (14) _______________ alam yang berlaku saban hari.
Tidak keterlaluan jika dikatakan impak pemanasan global lebih mendapat perhatian meluas sebahagian (15) _______________ penduduk dunia, berbanding kekurangan makanan yang kian meruncing (16) _______________ dinyatakan laporan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Laporan yang berupa amaran langsung itu, mengaitkan perkembangan (17) _______________ itu dengan jumlah penduduk yang meningkat daripada 3 bilion orang (18) _______________ 9.5 bilion orang dalam masa 50 tahun. Malangnya, ia tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin hari semakin susut.
Bahagian B ( 10 markah )
Arahan: Baca petikan karangan yang berikut dengan teliti.
Keruntuhan akhlak dan moral remaja hari ini sering dipertikaikan. Apakah punca berlakunya masalah ini? Tentunya ramai yang akan menuding jari kepada ibu bapa. Namun, hakikatnya bukan faktor ini sahaja yang menjadi penyebab utama kepada sindrom ini.
Bukankah sudah ramai ibu bapa memainkan peranan mereka? Namun, anak-anak masih lagi berkelakuan tidak seperti yang mereka impikan. Kita patut menyelidik dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan tanpa berpandukan sesuatu yang tulus.
Mungkin kita tidak memikirkan tentang keadaan sekeliling yang banyak mempengaruhi jiwa mereka. Jika baik pengaruhnya, maka baiklah mereka dan begitu sebaliknya.
Antara persekitaran yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat ialah media elektronik, khususnya televisyen. Kebanyakan rancangan televisyen cenderung kepada hiburan semata-mata. Hiburan memang dibenarkan dalam agama tetapi hendaklah tidak melanggar batas-batas syariat yang telah ditetapkan.
Selain media elektronik, rakan-rakan sebaya turut menjadi faktor kepada keruntuhan akhlak. Dalam situasi begini, ibu bapa harus memainkan peranan mereka dengan lebih baik lagi. Mereka mungkin tidak mempunyai tempat mengadu selain daripada rakan-rakan dan seterusnya melakukan perkara-perkara di luar batasan tanpa berfikir panjang. Ibu bapa haruslah sentiasa berdampingan dengan anak-anak untuk mengeratkan lagi hubungan seisi keluarga dan sekali gus, dapat menghindarkan anak-anak daripada terjebak ke dalam kegiatan yang tidak sihat.
Dalam keadaan belia tanpa hala tuju ini, matlamat untuk melihat kemajuan dalam aspek sosial tidak mungkin akan tercapai. Hal ini adalah kerana pembangunan yang pesat tanpa pemikiran yang waras sudah tentu tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang positif. Malah, ia dikhuatiri akan menjadi sebaliknya.
Demi menjamin kejayaan yang diimpikan pada masa akan datang, kita sebagai generasi pelapis kepada pemimpin negara pada masa ini, hendaklah sentiasa mempunyai akhlak serta budi pekerti yang baik di samping memiliki kepakaran dalam bidang yang diceburi.
(Dipetik dan diubah suai daripada artikel ‘Keruntuhan Akhlak Dalam Kalangan Remaja’ oleh Mohd Aiyad Ramli, Dewan Siswa, Ogos 2005)
Arahan: Berdasarkan petikan karangan di halaman 5, jawab soalan-soalan di bawah ini dengan memilih jawapan yang sesuai. Kemudian, tulis huruf jawapan pilihan kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
19 Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan apabila remaja kurang bermoral kerana __________.
A ramai ibu bapa keluar bekerja
B tiada penyelidikan yang dibuat
C akhlak remaja sudah sememangnya merosot
D ada banyak faktor lain yang menyebabkannya
20 Remaja mudah terpengaruh dengan __________.
A keadaan sekelilingnya
B rakan-rakan sebaya yang baik
C hiburan televisyen yang disiarkan
D ibu bapa mereka yang telah memainkan peranan
21 Remaja dikatakan kurang matang apabila __________.
A tidak dapat berfikir
B membuat hal di luar batasan
C tidak mempunyai tempat mengadu
D ibu bapa perlu berdamping dengan mereka
22 Remaja diperlukan untuk __________.
A membuahkan hasil yang postif
B menjamin kejayaan yang diimpikan
C menjadi pemimpin pada masa depan
D memiliki kepakaran dalam bidang yang diceburi
23 Perkataan ‘syariat’ (baris 15) dalam petikan karangan ini bermaksud __________.
A adat
B syarat
C aturan
D hukum
Bahagian C (26 markah)
Arahan: Baca petikan karangan yang berikut dengan teliti.
Pak Musa melangkah perlahan-lahan ke bilik dan bersila di sisi Azwa.
“Wawa, ayah ada masakkan bubur nasi untuk Wawa. Makanlah,” ucap Pak Musa, penuh simpati. Azwa tidak bersuara. Dia sudah biasa ditemani air mata.
“Biar ayah sendukkan, ya?” sambung Pak Musa lagi memandangkan tiada jawapan daripada anaknya. Azwa mengesat sudut matanya dan mengucapkan terima kasih kepada ayahnya. Dia sebenarnya tidak mahu menyusahkan ayahnya, apatah lagi untuk menambah beban derita lelaki tua yang memang tidak begitu sihat itu.
“Kenapa Tuhan menguji Wawa begini, ayah?” Pak Musa tersentak. Dia tidak menduga perkahwinan anak tunggalnya itu yang diadakan secara meriah akan berakhir dengan penceraian. Perpisahan itu berlaku kerana permintaan anaknya yang tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Kalaulah kita kaya, tentu Wawa tidak menderita seperti ini,” Wawa merintih. Pak Musa bungkam.
Azwa berdiri perlahan-lahan. Mukanya bengkak. Lazimnya, begitulah hakikat penghidap sakit ginjal. Wajah bujur sirihnya sudah menjadi pendek. Kedua-dua kelopak matanya timbul dan biji matanya terperosok ke dalam. Wajah yang menjadi rebutan suatu detik silam, kini hampir dilupakan.
“Kalaulah kita berada, tentu tiap-tiap minggu Wawa boleh mencuci buah pinggang ini. Yang ada dalam hidup Wawa cuma... ayah dan rumah ini.” Semakin hiba Pak Musa mendengar tutur kata anaknya itu.
“Wawa, jangan dikesali nasib yang telah ditentukan. Banyakkan bertafakur sebagai tanda kesyukuran. Ayah akan berusaha mendapatkan biaya biarpun ayah terpaksa menanggung susahnya. Kalau Wawa juga bersedih, begitu juga perasaan ayah. Ingatkan Tuhan! Sesungguhnya ada hikmah di sebalik dugaan ini,” ujar Pak Musa.
Deruan angin yang bertiup tidak lagi mendamaikan hatinya dan tubuhnya yang sudah dimamah derita. Azwa memandang ayahnya.
“Jika permohonan ayah untuk mendapat bantuan itu berhasil, ayah akan ikhtiarkan sesi mencuci buah pinggang Wawa. Tunggulah sehari dua ini,” Pak Musa hampir-hampir tidak dapat menahan kesedihannya.
“Terima kasih, ayah,” Azwa cuba tersenyum. Dia kembali ke kerusi tetapi tiba-tiba... “Ya, Allah! Ayah! Aduh... ayah! Tolong Wawa...” Azwa mengerang sebelum punggungnya rebah ke kerusi.
(Dipetik dan diubah suai daripada novel ‘Sutera Kasih’ oleh Sirhan Ansari)
Arahan: Berdasarkan petikan karangan di halaman 7, jawab soalan-soalan yang diberikan. Kemudian, tulis jawapan kamu dalam Kertas Jawapan yang disediakan.
24 Mengapakah Pak Musa yang memasakkan bubur nasi untuk Azwa? (2 markah)
25 Jelaskan dua bukti yang menunjukkan Pak Musa seorang bapa yang bertanggungjawab. (4 markah)
26 Azwa sering meratapi nasibnya. Kemukakan bukti untuk menyokong jawapan kamu itu. (4 markah)
27 Penyakit yang dialami oleh Azwa meninggalkan kesan ke atasnya. Jelaskan. (4 markah)
28 Berdasarkan keadaan Azwa pada akhir cerita tadi, nyatakan dua kemungkinan yang boleh berlaku ke atasnya. Jelaskan. (6 markah)
Bagi Soalan 29 hingga Soalan 31, terangkan maksud perkataan atau frasa yang diberikan berdasarkan petikan dengan menggunakan tidak lebih daripada 10 perkataan.
29 bungkam (baris 14) (2 markah)
30 hikmah (baris 25) (2 markah)
31 dimamah derita (baris 28) (2 markah)
Selesai
SEMOGA BERJAYA