Jika akar sebatang pokok itu kuat, ia akan tumbuh subur dan kukuh hingga berbuah. Sama juga seperti

Wednesday, October 6, 2010

Di bawah ini ada soalan kertas 2 untuk kelas 3NA .

ARAHAN:-

Sila cuba soalan-soalan ini demi persiapan kamu untuk peperiksaan nanti.Hantar jawapan kamu melalui e mail saya iaitu :- noor_hayati_mohamed_yusoff@moe.edu.sg.

Ini harus diikuti dengan hantaran sms ke nombor telefon bimbit saya.


BAHAGIAN A (35 markah)

Soalan A1 (10 markah)

Arahan: Dalam petikan karangan di bawah ini terdapat 10 patah perkataan yang berhuruf tebal. Bubuh imbuhan yang sesuai pada setiap perkataan. Tulis jawapan kamu di Kertas Jawapan yang disediakan.

Silambam adalah sejenis seni mempertahankan diri yang ulung dan unggul bagi bangsa Tamil di seluruh dunia. Seni ini wujud sejak zaman pra-sejarah, sebelum (1) datang kaum Aryan ke India. (2) Turut masyarakat Tamil tradisional, seni ini (3) rupa salah satu seni yang harus (4) ajar untuk menjadi insan yang sempurna. Semasa perkembangan agama Buddha, seni mempertahankan diri ini telah (5) bawa ke China dan Jepun. Seni ini juga telah (6) alam perkembangan pesat dan menjadi asas (7) latih ketenteraan. Silambam kemudian (8) kembang ke Asia Tenggara. Perkembangan ini adalah hasil usaha rakyat Tamil yang berhijrah ke rantau ini. Namun, di bawah undang-undang (9) jajah barat, seni ini tidak mendapat (10) iktiraf. Seni dari dalam sahaja diiktiraf.

SOALAN A2 (5 MARKAH)

Arahan: Pilih peribahasa yang sesuai daripada senarai yang diberi bagi mengisi tempat-tempat kosong di bawah ini. Kemudian tulis jawapan kamu itu di Kertas Jawapan yang disediakan.

A
Tumbuk rusuk
B
Seperti api dalam sekam
C
Pipit pekak makan berhujan
D
Seperti gergaji bermata dua
E
Laksana wau melawan angin
F
Tong kosong nyaring bunyinya
G
Seperti gunting makan di hujung
H
Umpama air digenggam tiada tiris
I
Seperti seludang menolak mayang
J
Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau

Penduduk Kampung Pinang Sebatang gempar dengan berita yang hangat tersebar, Azman, anak penghulu kampung ditangkap polis semalam. Azman didapati bersalah kerana bersubahat memberi wang rasuah. Perbuatan (11) __________ itu hanya diketahui oleh majikannya setelah mendapat bukti yang kukuh.

Haji Ahmad, ayah Azman terlalu kecewa dengan berita itu sehingga jatuh pengsan. Sungguh tidak beliau sangkakan Azman sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Lagaknya ini samalah (12) __________.

Selama ini, keluarga, teman-teman dan seluruh penduduk kampung kagum dengan sifat dan keperibadian Azman yang seolah-olah tiada cacat celanya. Malah, sebagai anak seorang penghulu kampung, dia tidak pernah membangga-banggakan diri, tidak (13) __________. Di tempat kerja pula, dia sering dicontohi kerana rajin bekerja sehingga lewat malam dan ada masanya tidak menghiraukan kesihatannya, seperti (14) __________.

Azman juga tidak menyangka perbuatannya yang selama ini disembunyikan dan dilakukan secara diam-diam, (15) __________ akhirnya terbongkar juga. Kini, hanya sesal yang tidak terhingga menyelubungi dirinya.



SOALAN A3 (10 markah)

Arahan : Pilih sepatah perkataan yang paling sesuai daripada senarai yang diberikan bagi mengisi tempat kosong dalam teks berikut. Kemudian, tulis jawapan kamu di Kertas Jawapan yang disediakan.

sedikit
masa
dinikmati
makanan
merupakan
setelah
hidangan
seperti
taburan
tengah-tengah
ketika
berwarna-warni
tahun
dijual
lebih


Masyarakat barat telah lama menjadikan donat sebagai makanan sampingan yang dihidangkan pada waktu minum petang. Namun kini, donat menjadi (16)______ yang begitu popular sehinggakan boleh (17) ______ pada bila-bila masa. Sama ada (18) ______ membuat jamuan atau sebagai buah tangan semasa mengunjungi rakan. Tidak kira apa jua keadaannya, donat (19) ______ makanan yang amat digemari ramai. Donat pertama yang telah dijual kepada orang ramai sedikit (20) _______ dahulu berbentuk bulat, berlubang di (21) ______ dan ditabur gula halus. Untuk menjadikannya (22) _______ menarik dan (23) ______, pelbagai perisa dan bahan ditambah. Ada yang dihiasi dengan (24) _______ kacang bersama coklat cair dan ada pula dengan gula (25) _______ bersama jem buah-buahan. Malahan, ada pelbagai bentuk dan inti di dalamnya. Kesemua hidangan ini dibuat untuk menarik perhatian pembeli disamping memberikan lebih banyak pilihan.



BAHAGIAN B (10 markah)
Arahan : Baca dengan teliti petikan karangan yang berikut.

Virus komputer dipanggil ‘virus’ kerana mempunyai hubung kait dengan virus biologi, yang merebak dari satu komputer ke satu komputer yang lain. Sifat ini sama seperti virus biologi yang berjangkit. Selain itu, virus biologi juga bukanlah benda hidup, tetapi pecahan asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam jaket yang dikawal oleh sistem imunisasi badan.

Virus komputer juga berkongsi ciri-ciri yang sama. Virus komputer perlu bergantung pada program perisian atau dokumen untuk diaktifkan. Selepas aktif, virus akan menjangkiti dan memusnahkan perisian atau dokumen lain. Ada beberapa jenis virus iaitu virus e-mel dan virus Kuda Trojan (Trojan horses). Virus e-mel bergerak secara automatik dengan menghantarkan perisian virus kepada semua orang dalam senarai alamat pengguna e-mel. Manakala virus Kuda Trojan (Trojan horses) pula merupakan perisian yang diuar-uarkan mempunyai satu fungsi, namun mampu mencetuskan kemusnahan lain apabila diaktifkan, sebagai contoh memusnahkan cakera keras atau perkakasan lain.

Dalam evolusi terkini, pencipta virus membuat gangguan ke atas blog, e group, perkongsian fail di internet, mp3, thumbdrive, e-mel dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, jika ada sesuatu yang baharu dan popular, berhati-hatilah sebelum menggunakannya. Virus komputer ternyata bersifat berubah-ubah bentuk kerana dilindungi oleh program yang dikenali sebagai enjin Mutant yang boleh menghasilkan berbilion kod lain. Keadaan ini menyebabkan pakar sukar untuk mengesan dan menanganinya kerana tiada tanda-tanda awal.

Kebanyakan alat mudah alih yang canggih seperti telefon bimbit mempunyai kebolehan untuk melancarkan program, memuat turun perisian secara rawak, serta menghantar virus ke alat mudah alih yang lain. Oleh itu, pengawalan yang terbaik ialah dengan memasang sistem operasi UNIX dan LINUX, mengelakkan memuat turun perisian dari sumber yang diragui, contohnya internet, dan memasang perisian nyah virus.

Jika tidak mengambil langkah-langkah keselamatan, pengguna akan menghadapi risiko kerosakan komputer. Namun, beratus-ratus virus baharu timbul dalam masa seminggu. Oleh itu, semua pengguna komputer perlu lebih berhati-hati.

Arahan : Berdasarkan petikan karangan di halaman 3, jawab item-item berikut dengan memilih jawapan yang sesuai. Kemudian, tulis huruf jawapan pilihan kamu di Kertas Jawapan yang disediakan.


26 Virus komputer dipanggil ‘virus’ kerana __________.


A sifatnya yang aktif
B dikawal sistem imunisasi badan
C pecahan asid deoksiribonukleik (DNA)
D sifatnya yang sama dengan virus biologi


27 Virus ________ bertindak dengan mengirim kepada orang lain dengan sendirinya.


A e-mel
B biologi
C komputer
D Kuda Trojan


28 Penghasilan virus sukar dikawal kerana _________.


A kemusnahan cakera keras
B berlaku perubahan enjin Mutant
C terdapat pelindungan enjin Mutant
D pencetusan perisian yang diuar-uarkan


29 Virus disebarkan melalui _______.

A blog, mp3, e-mel dan e group
B sistem operasi UNIX dan LINUX
C telefon bimbit, perisian nyah virus, blog dan thumbdrive
D perkongsian fail di internet, perisian yang diragui dan perisian nyah virus


30 Perkataan “diuar-uarkan” (baris 12) dalam petikan ini bermaksud _________.

A diceritakan
B dikeluarkan
C dijangkakan
D dihebahkan

BAHAGIAN C (25 MARKAH)

ARAHAN: Baca petikan karangan yang berikut dengan teliti.

Hati Tajul tiba-tiba panas menggelegak. Dia rasa tercabar. Mujurlah dia dapat bersabar. Jika tidak, gerai Judin sudah di­robohnya tadi. Mengapa Judin dirikan gerai di sebelah geraiku?

“Inilah orang Melayu,” marah TajuI. “Pantang nampak orang senang sikit. Mulalah iri hati. Macam manalah orang kita nak maju. Tengok bangsa lain. Sama-sama berlumba mencari kekayaan. Kita tidak, asyik nak berdengki.” Tajul terus mengomel.

“Orang cari rezeki tak boleh marah-marah,” pujuk Mak Jah. “Biarlah Judin berniaga, JuI. Dia pun nak cari rezeki juga. Tak usah nak marahkan Judin,” pesan Mak Jah.

Tajul masuk ke biliknya sambil mengelap peluh dengan tuala. Hari ini pelanggannya cukup ramai. Sampaikan tidak menang tangan. Walaupun penat berniaga, hati Tajul puas. Apalagi melihat duit yang digenggamnya. Terasa penat hilang.

Pisang dan keledek yang dihantar bapanya habis digoreng. Jualannya laris betul. Malah Tajul berasa gembira, kerana dapat membantu bapanya. Sejak dibuang kerja kilang, bapanya, Pak Majid, hanya berkebun. Menanam pisang, keledek, betik dan ubi kayu. Pelanggan yang datang pula kebanyakannya pekerja di kilang berhampiran. Ada juga yang singgah dari pekan.

Malam itu tidur Tajul kerap terganggu. Suatu ketika, Tajul melihat belanganya berpindah ke gerai Judin. Goreng pisangnya berlambak tidak laku. Goreng keledek, pisang dan ubi kayu sejuk di dalam talam tanpa diusik pelanggan. Semua pelanggan berpindah ke gerai Judin. Apakah ubat yang Judin kenakan sampaikan pelanggannya lari? Tiba-tiba Tajul melepaskan geramnya. Dia meng­genggam penumbuk, lalu dilepaskan tepat ke muka Judin. Rupa-rupanya dia menumbuk tepi katil.

Tengah hari itu,Tajul terkejut melihat Judin sudah mula berniaga. Tetapi, yang dijualnya ialah cendol, sirap manis dan air laici.

“Aku berniaga minuman. Kasihan aku tengok pelanggan kau. Mereka kadangkala makan goreng pisang sambil berdiri. Kalau tak ada air tentu tercekik,” kata Judin sewaktu menghampiri Tajul. Tajul tersenyum mulus. Barulah dia menarik nafas panjang.

“Sambil pelanggan beli pi­sang goreng, keledek, mereka boleh singgah minum air di gerai aku,” kata Judin membawa plastik berisi air laici untuk Tajul. Tajul mengambil plastik air laici.

“Yalah. Eh, sudah dekat pukul tiga. Aku nak mula panaskan minyak. Nanti pelanggan datang pula.”

Judin ikut membantu Tajul menghidupkan api. Sesekali Tajul menjeling ke arah Judin. “Aku saja yang buruk sangka terhadap­nya,” bisik hati kecil Tajul.

Dipetik dan diubah suai daripada Antologi Cerpen Remaja “Gerai Sepakat” oleh Ghazali Ngah Azia, 2006

ARAHAN: Berdasarkan petikan karangan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut. Seberapa yang boleh gunakan ayat-ayat kamu sendiri. Kemudian tulis jawapan kamu di ruang jawapan yang disediakan di Kertas Jawapan.

31
Apakah yang membuat Tajul benar-benar marah?
(3 markah)



32
Mengapakah Tajul berpuas hati dengan perniagaan yang dijalankannya selama ini?
(4 markah)



33
Kehadiran gerai Judin dan Tajul sebelah-menyebelah akan menguntungkan mereka berdua. Setujukah kamu dengan kenyataan ini? Berikan dua sebab.
(6 markah)



34
Pada pendapat kamu, apakah dua tindakan yang sepatutnya diambil oleh Tajul terlebih dahulu sebelum buruk sangka terhadap Judin? Terangkan.

(6 markah)



35
Terangkan maksud perkataan yang berikut berdasarkan penggunaannya dalam teks.

i
tidak menang tangan
(baris 10)
(2 markah)
ii
mulus
(baris 27)
(2 markah)
iii
buruk sangka
(baris 35)
(2 markah)


SELESAI

SEMOGA BERJAYA